Wednesday 30 November 2016

Perniagaan Berasaskan Pertanian

1.0         PENGENALAN


Image result for sawitPertanian merujuk kepada perihal pengeluaran makanan dan barangan melalui perkebunan, penanaman, penternakan dan perhutanan.  Pertanian telah memainkan peranan yang utama dalam perkembangan tamadun dunia dengan sebahagian besar penduduk dunia mengusahakan pertanian sehingga bermulanya revolusi perindustrian (Farah Ariff et al., 2012).  Sektor pertanian, merupakan antara aktiviti ekonomi yang dikategorikan sebagai sektor utama selain daripada perlombongan dan kuari. Walaupun proses urbanisasi semakin pesat dan tumpuan banyak diberikan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun majoriti populasi di Asia Tenggara masih mendiami kawasan luar bandar dan bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Sektor pertanian Malaysia telah pesat maju bermula daripada waktu Malaysia mencapai kemerdekaan 59 tahun yang lalu (Bank Negara Malaysia, 2000).  Hal ini boleh dilihat semasa krisis kewangan melanda negara pada tahun 1998.  Pemulihan dalam pengeluaran pertanian, disokong pula oleh peningkatan yang ketara dalam hasil minyak kelapa sawit telah menyumbang ke arah pertumbuhan yang positif ke atas ekonomi Negara.  Selama beberapa dekad, sektor pertanian telah menjadi salah satu tonggak ekonomi negara.
Sektor pertanian berperanan membangunkan kawasan pedalaman dan luar bandar. Sektor ini membekalkan makanan kepada penduduk di negara ini yang semakin meningkat serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dari luar negara. Pada masa yang sama, sektor pertanian menyumbang kepada sumber pendapatan negara melalui eksport, terutamanya produk yang dihasilkan dari komoditi seperti minyak kelapa sawit, getah dan koko.  Kerajaan, melalui Dasar Pertanian ke-3 Kebangsaan (1998-2010) meletakkan usaha untuk memaksimumkan pendapatan melalui penggunaan sumber yang optimum di dalam sektor pertanian.
Namun, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur diketepikan. Para petani juga tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun.  Menurut Norsida dan Azimi (2007) kurangnya belia yang berminat untuk bekerja dalam bidang pertanian dan hanya petani atau pekebun yang semakin tua sahaja yang masih meneruskan bidang usaha ini.  Generasi pelapis yang diharapkan lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang lebih baik dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian.  Data statistik yang dirumuskan oleh Chamburi, Abd. Malik dan Abdul Hamid (1999) sumbangan sektor pertanian berkurang daripada 53.5 peratus pada tahun 1970 kepada 47.6 peratus pada tahun 1975, 37.2 peratus pada tahun 1980, 31.3 peratus pada tahun 1985 dan 27.8 peratus pada tahun 1995.   Jumlah tenaga kerja pada tahun 1995 dengan seramai 1,524,000 orang dijangka menurun sebanyak 2.8 peratus setiap tahun sehingga menjadi 930,000 orang pada tahun 2010.  Hal ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik.  Peluang membaiki taraf ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin.  Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian adalah tidak menentu.

2.0         KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN


    Bidang pertanian di Malaysia diketahui merupakan antara yang terpenting dalam pembangunan negara.  Ini diperincikan dengan terbentuknya 12 peratus daripada KDNK negara adalah datangnya dari hasil bidang pertanian.  Dalam peratusan pekerjaan juga, 16 peratus daripada penduduk Malaysia bekerja di dalam bidang pertanian.  Ini kerana, Malaysia mengalami cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun atau lebih dikenali sebagai negara beriklim khatulistiwa.  Disebabkan itu juga tanah di Malaysia adalah subur untuk tanaman sepanjang tahun berikutan hujan tahunannya yang mencecah 80 peratus setahun antara 2000mm hingga 2500mm.
Bidang pertanian dilihat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan dari negara lain. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, kopi, koko dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini.  Jika keperluan dalaman rakyat Malaysia adalah mencukupi, maka kita tidak perlu mengimport bahan makanan ini daripada negara luar.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pertanian menjadi satu sektor utama yang diberi tumpuan. Sejumlah RM11.4 bilion diperuntukkan bagi meningkatkan sektor pertanian menjadi lebih moden, dinamik dan kompetitif. Sejumlah RM4.4 bilion diperuntukkan untuk permodenan sektor pertanian, terutama pembangunan wilayah dan penanaman semula serta program baik pulih tanah.  Sementara itu RM2.6 bilion untuk menyokong perkhidmatan pertanian dan RM1.5 bilion lagi untuk program pengairan pertanian. Pertambahan peruntukan dan kadar pertumbuhan ini juga menandakan betapa pentingnya sektor pertanian kepada negara.
Tidak dinafikan tulang belakang ekonomi negara sejak sekian lama ialah industri pertanian(Norhasni 2007).  Bidang pertanian merupakan satu industri yang terus relevan dengan perkembangan semasa kerana keperluan industri ini memenuhi keperluan negara dan masyarakat.  Untuk menceburi bidang pertanian secara komersial memerlukan ilmu, kepakaran dan modal yang besar.  Oleh itu bagi meningkatkan kadar pengeluaran produk pertanian, petani-petani yang mengusahakan pengeluaran mereka secara tradisional telah beralih kepada penggunaan teknologi yang lebih canggih bagi memenuhi permintaan pasaran.
Pertanian kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani jelas membuktikan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu industri dan satu perniagaan yang menguntungkan dan bukan lagi kerja kampung yang lekeh dan sinonim dengan kemiskinan.  Sebagai contoh, lonjakan perdana yang kini diusahakan oleh kerajaan ialah menggali potensi kawasan utara Semenanjung melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara dengan pengisytiharan Perlis sebagai Pusat Benih Negara.
Hasrat kerajaan pada masa kini ialah bagi melahirkan lebih ramai golongan belia yang menceburi sektor pertanian sepenuh masa dan menjadi usahawan tani yang berjaya.  Pada masa kini telah ada golongan belia yang berjaya dalam industri pertanian dan membuktikan bahawa pertanian itu merupakan satu perniagaan yang menguntungkan.  Pentingnya menceburi bidang pertanian bagi setiap lapisan masyarakat adalah secara tidak langsung kita akan dapat memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada berlaku. Dengan bilangan penduduk yang dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020, dijangka keperluan makanan juga akan meningkat. Ini juga menjadi kegusaran penduduk apabila kurangnya makanan sekiranya berlaku bencana alam.  Oleh hal yang demikian pertanian merupakan sumber keperluan masyarakat yang tidak boleh diabaikan.

Image result for wilayah ekonomi koridor utara

3.0         POTENSI BIDANG PERTANIAN


Bidang pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan mahupun ekonomi.  Dengan adanya tanah untuk diusahakan, kerajinan dan usaha si peladang atau penternak sudah cukup untuk memastikan bidang pertanian ini terus berkembang pesat. Situasi yang membolehkan sesuatu aktiviti pertanian itu bertukar menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau penternak tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya. Jadi, mereka boleh menjual hasil tanaman dan ternakan mereka kepada orang ramai.  Jika para peladang dan penternak ini bijak menguruskan wang, mereka boleh menjana wang dengan lebih banyak dan sekali gus menaikkan lagi ekonomi Malaysia.
“Pertanian adalah perniagaan” merupakan satu slogan yang sangat popular.  Slogan ini bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian.  Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri sahaja tetapi juga kepada orang sekelilingnya.  Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah.  Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada tanah.  Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur terutamanya para belia dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya.  Ini juga dapat mengelak para belia di Malaysia daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Tambahan pula, belia-belia masa kini mempunyai idea yang kreatif  dan inovatif. Mereka mampu menjadikan sesuatu produk lebih menarik untuk dijual kepada orang ramai dan ini juga satu kelebihan yang harus diguna pakai.
Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang.  Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan bidang pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, negara telah berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini. Dengan itu, para pengusaha ladang dapat menggunakan teknologi-teknologi baru ini untuk menambah baik sistem di ladang mereka sekali gus meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran.
Selain itu, hasil tanaman mahupun ternakan yang pada asalnya adalah untuk kegunaan sendiri kini boleh dijual kepada orang ramai.  Jika para pengusaha lebih kreatif dalam menginovasi hasil tanaman mahupun ternakan, mereka boleh menghasilkan produk yang baru darinya.  Sebagai contoh, peladang yang menanam durian tidak terhad hanya menjual durian mengikut buahnya sahaja. Mereka boleh mempelbagaikan lagi hasil durian mereka seperti membuka gerai yang menjual buah durian, duriancrepe ,aiskrim durian, pulut durian dan semua makanan yang berasaskan durian. Ini bukan saja  mampu menarik ramai pelanggan malah ianya juga dapat menarik para pelancong dari negara lain yang mahu merasa keunikan buah durian. Terbuktilah bahawa pertanian berpotensi menjadi satu perniagaan yang memberi hasil yang cukup lumayan.
Perniagaan berasaskan tani ini mampu menjana pendapatan yang menguntungkan melalui penyelidikan dan pemasaran yang diketengahkan oleh pihak MARDI dan juga FAMA.  Apabila pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual pasti meningkat sekaligus memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya. Disitu dapat dilihat akan fungsi agensi pelaksana untuk memberi garis panduan terhadap kualiti dan pemasaran hasil tani.  Proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, pengredan, pembungkusan dan pemasaran diberi keutamaan bagi menambahkan lagi daya saing setiap produk yang dihasilkan.
Bidang pertanian di Malaysia juga dilihat berpotensi untuk dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan diterapkan.  Konsep ini dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara aspek promosi dilakukan oleh Kementerian Pelancongan.  Kementerian ini berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan kerana pertanian bukanlah hanya untuk dijadikan sumber makanan sahaja, malah ianya juga adalah untuk dinikmati hasil keseniannya kerana Malaysia merupakan negara yang kaya dengan keindahan alam semulajadinya.  Pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong.  Antara aktiviti yang ditawarkan oleh agro-pelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buahan serta ladang ternakan, penyelidikan, rumah rehat dan sebagainya.
Jika agro-pelancongan merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pelancongan, potensi bidang pertanian untuk menjadi perniagaan yang menguntungkan juga turut diperkatakan oleh Mohamad Nizam Malik (2009). Beliau turut berkongsi satu gerbang perdagangan hasil pertanian melalui alamat laman web www.agribazaar.com yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia  (MIMOS) atau MIMOS Berhad. Portal ini merupakan platform baru yang membolehkan pengusaha berhubung terus dengan ramai pembeli untuk mendapatkan harga terbaik sekaligus menjadikan bidang pertanian satu perniagaan yang berpotensi dan kekal relevan di pasaran dunia.

Image result for pasar tani

4.0       CABARAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN


Pelbagai cabaran atau halangan yang perlu dilalui oleh usahawan tani bagi memastikan bidang perniagaan berasaskan pertanian ini mendapat tempat di pasaran negara mahupun antarabangsa.  Terdapat tiga perkara besar yang menjadi cabaran serta halangan dalam memastikan bidang pertanian berasaskan pertanian kekal relevan dan dikenali sebagai satu perniagaan yang sangat menguntungkan kerana terhasil dari sumber alam.  Cabaran dan halangan tersebut adalah tanah dan pembangunan, modal serta bencana alam.
Image result for tanah pertanian rosak

4.1       Tanah dan Pembangunan


Image result for tanaman padi kedahMalaysia mempunyai keluasan tanah sebanyak 329,960.22 kilometer persegi.  Dalam keluasan tersebut, hampir 24 peratus adalah terdiri daripada tanah yang berpotensi untuk pertanian sahaja. 24 peratus tersebut diperincikan lagi kepada 7,605,00 hektar tanah pertanian yang subur dan kekal. Sungguhpun begitu, harga setiap tanah semakin melonjak tinggi saban hari.  Usahawan tani dilanda masalah yang melibatkan tanah bagi tujuan pertanian dan disebabkan itu juga kemajuan dalam sektor pertanian negara menjadi perlahan jika tanah bagi bidang ini digunakan untuk pembangunan. Menurut Rafiqah dan Aziz (2015), sektor pertanian menghadapai masalah berkaitan kekurangan keluasan tanah yang subur untuk penanaman akibat dilanda oleh proses perbandaran dan kemajuan industri. Dua pembolehubah ekonomi ini jelas mempunyai kesan langsung kepada kejatuhan jumlah output pertanian apabila dikaitkan dengan ketidaklestarian sektor pertanian yang menyebabkan bekalan tanah pertanian berkurangan serta tekanan penduduk yang kian bertambah.


4.2      Modal

Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum menjadi seorang usahawan. Dalam konteks usahawan berasakan pertanian, banyak persoalan yang akan bermain difikiran dan salah satunya adalah berkaitan dengan modal. Menurut Rafiqah dan Aziz (2015), modal merupakan salah satu input penting dalam apa jua kegiatan ekonomi.  Berbeza pula dengan Valentino Dinsi (2015) menyatakan bahawa setiap usahawan tidak semestinya memerlukan modal untuk memulakan perniagaan.  Ini kerana definisi modal dalam bidang keusahawanan bukanlah wang semata-mata.  Hasil tanaman atau pertanian juga merupakan satu modal awal yang boleh dijadikan permulaan perniagaan. Sungguhpun begitu, cara atau taktik pemasaran memerlukan seorang usahawan mengumpul modal yang lebih besar. Rafiqah dan Aziz (2015) menekankan bahawa dalam aktiviti pertanian, modal sangat diperlukan untuk menanggung kos-kos pengeluaran dimana pengusaha pertanian menghadapi halangan modal dari segi pusingan modal dan aktiviti pertanian itu sendiri.
Selain itu, pengusaha juga mengalami masalah dalam kekangan kewangan untuk membeli peralatan dan perkakas yang berkaitan.  Menjadi seorang usahawan tani memerlukan persediaan yang besar dari segi mental, fizikal dan kewangan.  Cabaran ini merupakan satu cabaran yang perlu difikirkan oleh seorang usahawan untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya.
Masalah modal dan bantuan kewangan yang terhad seperti ini sering merenjatkan hasrat serta keterujaan golongan belia untuk menjadi seorang usahawan lebih-lebih lagi di dalam bidang pertanian. Rafiqah dan Aziz (2015) jelas menyatakan bahawa antara penyebab masalah dalam kekurangan modal ini ialah kekurangan kemudahan pembiayaan dan input. Sekiranya wujud kemudahan pembiayaan dan penggunaan input pertanian yang dirancang dengan baik dari segi penghantaran dan penggunaannya, ia diyakini dapat meningkatkan pengeluaran pertanian.
Antara inisiatif lain kerajaan Malaysia adalah dengan menyediakan pinjaman kepada usahawan tani dari Bank Pertanian atau kini dikenali sebagai Agro Bank. Pinjaman untuk penggunaan modal awal adalah tertakluk kepada apa yang telah digariskan didalam spesifikasi yang dipersetujui oleh pihak pengurusan atasan di bank tersebut.
Image result for bank pertanian malaysia

 

4.3      Bencana Alam


Antara cabaran lain yang dilalui oleh pengusaha dalam bidang pertanian adalah faktor bencana alam yang berterusan dan membawa kepada kemusnahan tanaman sekaligus menyebabkan kekurangan sumber makanan. Apabila terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ianya merencatkan pengeluaran hasil tanaman. Ini akan menyebabkan bekalan makanan terjejas dan pengusaha mengalami kerugian yang besar. Oleh kerana bencana alam yang berterusan, tanah-tanah pertanian terpaksa ditukar menjadi kawasan penempatan penduduk.Disebabkan itu, keluasan tanah pertanian menjadi kecil dan tanaman menjadi terhad.
Melalui kajian yang dikongsi di laman sesawang Usahawan.com juga, Malaysia pernah melalui era krisis makanan pada bulan Mac dan April tahun 2008.  Kekurangan beras dan kenaikan harga minyak mentah global menjadi punca kepada krisis makanan ini. Akibatnya, kadar inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak sehingga menyebabkan penduduk merasa kesannya.

Image result for krisis makanan pada bulan Mac dan April tahun 2008 malaysia

5.0       SOKONGAN DAN BANTUAN


Kerajaan melihat bahawa bagi memajukan sektor pertanian, pertanian komersial, iaitu melalui amalan kaedah terkini seperti aplikasi teknologi dan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk penggunaan bioteknologi perlu dipraktikkan. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan turut mengenal pasti beberapa bidang dan produk baru yang berpotensi untuk dimajukan bagi mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi. Salah satu sumber pertumbuhan baru yang dikenalpasti ialah pembangunan pusat makanan halal, ekuin dan haiwan eksotik, ‘minimally processed food’ dan produk-produk bioteknologi seperti kultur sel, ‘pharmaceutical’, ‘nutraceutical’, produk-produk herba dan makanan ternakan atau bahan tambahan makanan ternakan.
Dalam memastikan bidang pertanian kekal relevan di mata dunia dan sejajar dengan ikrar kerajaan Malaysia, melalui pembentangan bajet tahunan iaitu sewaktu Bajet 2013 dibentangkan, peruntukan telah diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu sebanyak RM5.8 billion dan kerajaan Malaysia juga turut menyediakan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan program pertanian yang melibatkan penggunaan aplikasi berteknologi tinggi dalam penghasilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Malah, peruntukan tersebut juga adalah untuk pembekalan benih tanaman berkualiti, harga yang stabil dimana ia melalui jualan terus dari ladang dan tidak melalui orang tengah. 
Selain itu, dalam usaha memajukan bidang pertanian ini di Malaysia, kerajaan telah mewujudkan satu kementerian serta jabatan dan agen pelaksana yang berkaitan selaras dengan kemajuan yang sedang dikecapi oleh Malaysia dalam usaha yang berteraskan pertanian.  
Image result for teknologi pertanian

5.1       Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA)


Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) merupakan satu langkah atau inisiatif kerajaan dalam membantu bidang pertanian di negara Malaysia.MOA juga merupakan satu inisiatif yang mempunyai jabatan serta agensi pelaksana dibawah kepimpinannya.Ia juga merupakan pemangkin yang sentiasa menerajui proses transformasi didalam sektor pertanian secara lebih terancang, bersepadu dan menyeluruh berteraskan perkongsian pemikiran dan juga tenaga organisasi bagi mencapai matlamatnya. Sektor pertanian juga merupakan salah satu penyumbang didalam ekonomi Malaysia melalui perniagaan.
Dari segi pendidikan, MOA juga turut memberi bantuan seperti Program Latihan Kemahiran Pertanian Malaysia bertujuan untuk menggalakkan generasi muda bagi melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai pekerja yang mahir serta pengusaha bagi sektor pertanian yang bertaraf komersil dan berskala besar melalui teknologi yang terkini dan canggih. Bantuan juga turut diberikan dengan cara pemberian subsidi pada sektor penanaman padi khusus kepada harga padi, baja padi, harga beras, benih padi serta beberapa insentif lain seperti peningkatan hasil padi dan pengeluaran padi. Pemberian bantuan ini dikatakan mampu untuk meringankan beban pengusaha terutamanya dalam sektor pertanian.
Antara jabatan atau agensi pelaksana di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) adalah seperti Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Pertanian Sarawak, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), LPNM, MADA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), FAMA, DVS dan banyak lagi.
Image result for Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani

5.2         Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)


MARDI atau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia merupakan salah satu agensi pelaksana yang diwujudkan sekitar tahun 1969 dibawah Akta MARDI 1969.Ianya ditubuhkan dengan objektif utama untuk menjana dan mempromosi teknologi baru, wajar dan efisyen untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani. Antara fungsi-fungsi MARDI adalah untuk menjalankan penyelidikan, pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat dan nasihat berkenaan sains, teknikal dan ekonomi yang berkaitan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani dan sosial yang berkenaan dengan pengeluaran, penggunaan dan pemprosesan segala tanaman.  MARDI juga berfungsi sebagai pusat yang memberikan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian serta industri asas tani seperti perkhidmatan perundingan, makmal analisis, jaminan kualiti serta Research & Development (R&D) kontrak.  Antara lain, setiap penyelidikan, inovasi dan latihan yang diberikan oleh MARDI mampu membantu para usahawan tani untuk lebih maju serta menjadi platform kepada usaha dan pencapaian yang berterusan dalam memberi kelainan pada hasil pertanian. Secara tidak langsung, usahawan tani akan bersaing dengan lebih sihat dalam mempelbagaikan hasil tanaman mereka.
Image result for Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia

5.3         Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

                                                
Image result for fama malaYSIAKerajaan juga turut menyediakan platform bagi pemasaran tanaman iaitu melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Federal Agricultural Marketing Authority(FAMA) yang juga merupakan agensi pemasaran di bawah MOA. Hal-hal berkaitan pemasaran produk agromakanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta produk-produk Industri asas tani yang lain adalah dibawah tanggungjawab FAMA untuk memacu sektor pemasaran domestik dan antarabangsa.  FAMA memainkan peranan penting dalam aktiviti pemasaran hasil produk dan meningkatkan pendapatan pengeluar serta memastikan produk pertanian industri asas tani tersedia.  FAMA juga giat mengusahakan peningkatan kecekapan di sepanjang rantaian pemasaran dengan memberi fokus kepada beberapa perkara yang mampu membantu pelaksanaan peranan FAMA di sektor pemasaran Malaysia.
Selain itu, FAMA juga mempunyai satu pelan strategik jangka panjang bagi meningkatkan dan meluaskan pasaran produk pertanian serta memacu pemasaran iaitu peningkatan bekalan hasil pertanian, peningkatan akses pasaran, peningkatan bilangan usahawan tani agromakanan, penjanaan pendapatan kumpulan sasar bagi kalangan petani dan juga usahawan tani serta peningkatan kecekapan khidmat pemasaran.
Sokongan dan bantuan kerajaan bukan hanya terhad kepada kewujudan jabatan dan agensi pelaksana seperti MOA, MARDI, FAMA dan lain-lain, kerajaan juga turut mewujudkan strategi bagi mempromosikan bidang pertanian di Malaysia.Banyak insentif dan kemudahan yang telah kerajaan sediakan bagi mendorong generasi muda untuk menyertai bidang pertanian.

KESIMPULAN


Pertanian di Malaysia dilihat sebagai satu bentuk bidang yang mampu berkembang dengan pesat dan pergi lebih jauh memandangkan ianya semakin rancak diusahakan.  Ini kerana, Malaysia merupakan salah satu negara yang masih mempunyai tanah yang subur dan sangat sesuai untuk pertanian. Selain tanah yang subur, Malaysia juga tidak kerap berlaku bencana yang mengakibatkan kerosakan tanaman jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Malahan, bidang pertanian ini merupakan satu sektor yang mempunyai daya saing yang tinggi serta masih lagi merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.  Sektor pertanian ini juga dilihat mampu memberi impak positif apabila penyertaan sektor ini diperingkat dunia mampu menyatu padukan banyak negara-negara malahan manusia dari setiap pelusuk dunia. Bukan itu sahaja, ia menjadi satu perkara yang diambil berat untuk dikaji dan diinovasi hingga menjadikan penghasilannya satu perkara yang menguntungkan individu atau usahawan yang menceburkan diri di dalam bidang ini.
Sungguhpun terdapat cabaran yang memberi kesan terhadap pembangunan sektor pertanian, jika dilihat dari sudut positif, jabatan dan agensi pelaksana yang dilantik oleh kerajaan mampu mengatasi permasalahan tersebut.  Pertanian adalah perniagaan mampu terlaksana dengan adanya pelantaran yang disediakan oleh kerajaan serta penglibatan usahawan tani dalam menggunapakai sepenuhnya inisiatif yang diwujudkan ini. Selain menjana pendapatan, negara Malaysia dapat mengekalkan ekosistem yang lebih hijau, segar dan bersih.Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita.Image result for fama malaYSIA



RUJUKAN


Aidit, G. & Husnizam.Y, (2005). Pembentukan Generasi Belia Selangor 2005: Satu Pengamatan. Kuala Lumpur: Institut Perkembangan Minda.

Aziz, M., Latif, I.,  NorizanN., Hassan K., (2001)Pertanian Mapan: Cabaran Dan Strategi Pembangunan Dalam Sektor Pertanian Di Negeri Perlis. Society, Space and Environment in a Globalised World: Prospects & Challenges, pp. 278-285

Bank Negara Malaysia : Annual Report (2000). Bank Negara Malaysia. 

Chamhuri Siwar, Abd. Malik lsmail, Abdul Hamid Jaafar.1998. Reformasi Pertanian Malaysia
Ke Arab Wawasan 2020. Penerbitan UKM, Bangi, Selangor Selangor, pp.46.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.(2013). Kisah kejayaan usahawan industri asas tani. Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Norhasni, Z.,(2007). Belia Usahawan Tani Siswazah: Isu dan Cabaran. Jabatan Pemajuan Profesional dan Pengajian Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia.

Farah, A., Zaimah, D., Mohd, M., (2012), Hubungan antara Industri Bagi Sektor Pertanian di Malaysia.Transformasi Ekonomi dan Sosial Ke Arah Negara Maju. PROSIDING PERKEM VII, JILID 1 (2012) 269 – 276.

Norsida, M., dan Azimi, H., (2007) Keperluan Program Pendidikan Pertanian di Kalangan Beliatani di Kawasan Luar Bandar. Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Rafiqah M., dan Aziz A. M., (2015) Kepentingan Pertanian Bandar Dan Cabaran Yang Dihadapi oleh Petani Bandar di Malaysia. Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Mat &Abdul Majid, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(1), 44-56.

Valentino Dinsi. (2015). Satu keluarga satu usahawan "skuse" (Jamaludin Shahidan, Peny.). Selangor.JSA WISE Sdn Bhd.


Laman sesawang:

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).(2016). Penubuhan dan latar belakang. Capaian 28 Ogos 2016, dari http://www.mardi.gov.my/

Khairul B. A., (2016,5 September) Pertanian adalah Perniagaan dipetik dari;  http://khairulbariyahahmad237257.blogspot.my/2016/09/1.html


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). (t.t). Latarbelakang. Capaian 2 Ogos  2016, dari http://www.fama.gov.my/


Rujukan data dan statistik diperoleh dari; http://www.epu.gov.my/

Rujukan data dan statistik diperoleh dari; http://www.treasury.gov.my/index.php/en/

Usahawan.com. (t.t).Pertanian adalah perniagaan. Capaian 28 Ogos 2016, dari  http://www/usahawan.com/kerjaya/pertanian-adalah-perniagaan.html